KERAJAAN BANTU SELESAI ISU KUARTERS TERBIAR

on .

Kerajaan bantu selesai isu kuarters terbiar
NURUL HIDAYAH HAMID
5 JUN 2018

sinar harian 2018 02

Dr Salmee (duduk, tengah) bersama barisan ahli Lembaga Pengarah Maktab Mahmud dan pengetua-pengetua Maktab Mahmud seluruh Kedah.

 

ALOR SETAR - Kerajaan akan mengkaji tindakan sewajarnya bagi menyelesaikan masalah kuarters guru terbiar di Tajar dekat Alor Binjal, di sini.

Exco Pendidikan, Dr Salmee Said berkata, pihaknya memberi perhatian kepada masalah kuarters terbiar seumpama itu di Kedah.

“Kita akan tengok apa yang boleh dibantu dan kaji kesesuaian untuk tindakan yang boleh diambil. Sayang bangunan dibina untuk kemudahan kini terbiar.

“Sedangkan, bangunan berkenaan boleh dimanfaatkan untuk membantu orang tak ada rumah, “ katanya ketika diminta mengulas kewujudan kuarters guru terbiar sejak dua tahun lepas di mukim Tajar.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan keadaan sebuah kuarters guru dilengkapi enam blok bangunan empat tingkat, taman permainan, surau dan pondok pengawal terbiar.

Kini, kuarters berkenaan dipenuhi semak dan kemudahan prasarana dalam kuarters rosak hingga menimbulkan ketidakselesaan kepada masyarakat termasuklah pengguna jalan raya yang melaluinya ketika waktu malam.